Rabu, 6 Jun 2012
PERSATUAN PENDUDUK WAJIB PENUHI TIGA SYARAT UNTUK DAPATKAN GERAN BANTUAN DBKL
Persatuan penduduk di ibu negara wajib memenuhi tiga kriteria utama sebelum layak untuk diiktiraf dan menerima geran tahunan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
Kriteria itu ialah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), mempunyai akaun bank atas nama persatuan dan mesti aktif yang perlu dibuktikan dengan mengemukakan senarai ahli jawatankuasa persatuan serta laporan aktiviti tahunan.
Menteri berkenaan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (gambar) berkata, persatuan yang diiktiraf akan menerima geran tahunan Datuk Bandar sebanyak RM5,000 bagi membantu persatuan bergiat lebih aktif dan terancang demi kepentingan komuniti.
Menurutnya, sumbangan itu adalah susulan daripada pengumuman yang dibuat dalam seminar pada 24 hingga 26 April lalu anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Sebarang bantuan untuk melaksanakan program-program masyarakat setempat akan disalurkan melalui persatuan penduduk yang berdaftar.
“Apa yang ingin saya tekankan ialah setiap aktiviti yang dijalankan biarlah benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya selepas menyampaikan geran tahunan Datuk Bandar kepada 91 wakil persatuan penduduk mengikut kawasan Parlimen di sini.
Turut hadir, Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusop dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.
Beliau menambah, selain persatuan penduduk, terdapat pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) di sesuatu tempat yang turut mengadakan pelbagai aktiviti dan sering memohon bantuan daripada DBKL.
Oleh itu, katanya, sebagai langkah menyeragamkan aktiviti setempat, persatuan penduduk perlu bertindak sebagai penyelaras terhadap NGO lain agar aktiviti sosial yang hendak dijalankan itu dapat diadakan secara bersama dan selaras dengan konsep 1Malaysia.
“Berdasarkan rekod DBKL, terdapat 250 persatuan penduduk di Kuala Lumpur yang benar-benar aktif dan menjalankan program masing-masing.
“Namun setakat ini, hanya 91 persatuan yang mengemukakan permohonan untuk mendapatkan geran iaitu yang menerimannya hari ini, berjumlah RM455,000.
“Pihak kementerian dan DBKL mengalu-alukan permohonan persatuan-persatuan lain bagi memastikan keistimewaan ini dapat dikongsi bersama dan digunakan secara berhemah,” katanya.
Sementara itu, wakil persatuan penduduk yang ditemui menyifatkan sumbangan itu membolehkan lebih banyak kegiatan diadakan di kawasan mereka demi kesejahteraan penduduk.
Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Cochrane Perkasa, Abdul Halim Othman berkata, sumbangan itu menyuntik semangat barisan kepimpinan persatuan untuk terus mengatur pelbagai aktiviti.
Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Jalan Jelatek, Ahmad Kelana Mohd. Muhidin, 49, pula menyifatkan sumbangan berkenaan sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam usaha meningkatkan kualiti hidup bermasyarakat di tengah-tengah ibu kota.
Dipetik dari Utusan Malaysia
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Cadangan dan pandangan anda dihargai dan akan diambil perhatian - PPPMSC